SEMBAHYANG ORANG SAKIT
Cara Sembahyang Duduk
Keadaan
dan cara duduk bagi orang yang tidak berdaya berdiri dalam sembahyang
fardhu atau berdaya untuk berdiri dalam sembahyang sunat tetapi
melakukannya dengan duduk, tidaklah ditentukan cara dan keadaan duduknya
itu. Bahkan adalah memadai dengan kesemua cara dan keadaan duduk itu,
akan tetapi makruh dengan duduk iq‘a (bertinggung).
Manakala duduk bagi menggantikan berdiri:
Mengikut qaul yang ashah adalah afdhal duduk dengan keadaan iftirasy (seperti duduk ketika tahiyyah awal) kerana duduk iftirasy itu adalah salah satu duduk ibadat, maka ianya lebih awla (utama).Sementara qaul yang kedua, afdhal duduk dalam keadaan mutarabbi‘an (duduk bersila). Cara sedemikian ini ialah bagi menggantikan cara sembahyang berdiri, oleh yang demikian hendaklah dibezakan duduk menggantikan berdiri itu daripada duduk-duduk yang lainnya iaitu duduk dengan bersila.
Adapun cara duduk
ketika hendak melakukan tahiyyah awal, tahiyyah akhir dan duduk antara
dua sujud dalam sembahyang duduk, adalah afdhal dan sunat dilakukan
dengan duduk yang sama sebagaimana sembahyang orang sihat. Iaitu duduk tawarruk bagi tahiyyah akhir dan duduk iftirasy bagi duduk antara dua sujud dan tahiyyah awal.
Cara Rukuk Dan Sujud Dalam Sembahyang Duduk
Rukuk dan sujud merupakan salah satu daripada rukun sembahyang, sebagimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Rukuklah kamu dan sujudlah kamu."
(Surah Al-Hajj: 77)
Adapun cara rukuk
orang yang bersembahyang duduk, ialah sekurang-kurangnya dengan
membongkokkan badan sedikit bersetentangan dengan kedua-dua lututnya.
Manakala cara yang sempurna adalah dengan membongkokkan badan melebihi
daripada kadar di atas hingga berbetulan ke tempat sujud. Dan cara
sujudnya pula sama seperti sujud biasa.
Apabila orang yang
bersembahyang duduk itu tidak berdaya juga melakukan rukuk dan sujud
dalam keadaan duduk seperti cara-cara yang dijelaskan di atas, maka
hendaklah dia berbuat yang terdaya olehnya dengan cara membongkok
seberapa yang boleh. Tetapi hendaklah sujudnya itu lebih rendah daripada
rukuknya bagi membezakan antara sujud dan rukuk, dan melakukannya wajib
bagi mereka yang mampu membezakannya.
Jika orang yang
bersembahyang duduk itu tidak berdaya juga untuk melakukan rukuk dan
sujud dengan seberapa yang boleh, maka dia hendaklah melakukan rukuk dan
sujud tersebut dalam keadaan duduk itu secara isyarat. (Majmuk:
4/201-203) Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: "Dan jika aku memerintahkan kamu untuk mengerjakan sesuatu, maka kerjakanlah ia dengan apa yang kamu terdaya."
(Hadis riwayat Bukhari)
Demikianlah cara dan keadaan bagi mereka yang melakukan sembahyang duduk disebabkan ada keuzuran yang bersangatan untuk berdiri.
Tidak Berdaya Untuk Rukuk Dan Sujud
Apabila seseorang itu
tidak berdaya melakukan rukuk dan sujud kerana ada keuzuran yang
bersangatan, tetapi dia berdaya untuk berdiri dan duduk, maka dalam
keadaan ini wajiblah dia bersembahyang dalam keadaan berdiri dan tidak
sah jika dia bersembahyang dalam keadaan duduk.
Cara rukuk dan sujud
bagi orang yang tidak berdaya melakukannya, hendaklah dalam keadaan dia
rukuk, dia membongkokkan badannya sekadar yang terdaya. Sementara ketika
sujud, maka cara sujudnya adalah dalam keadaan badannya membongkok
dengan kedudukan lebih rendah daripada rukuknya, bagi membezakan
kedua-duanya.
Jika dia terdaya untuk
melakukan rukuk, tetapi tidak terdaya untuk sujud, maka dalam hal ini
tertakluk pada tiga keadaan dan ianya serupa dengan keadaan rukuk dan
sujud dalam sembahyang duduk:
Apabila dia terdaya untuk melakukan sekurang-kurang kadar had rukuk dan tidak pula melebihi daripada kadar itu, maka bolehlah dia melakukan perbuatan yang serupa bagi rukuk dan sujud dengan membongkokkan badan dengan kadar yang dia terdaya itu (kadar had sekurang-kurang rukuk).Adapun jika dia terdaya untuk melakukan kadar had rukuk yang sempurna dan tidak melebihi daripada kadar itu, maka bolehlah juga dia melakukan perbuatan yang serupa bagi rukuk dan sujud dengan membongkokkan badan dengan kadar yang dia terdaya itu (kadar had sempurna rukuk). Akan tetapi janganlah dia melakukan rukuk itu kurang daripada kadar had sempurna rukuk sedangkan dia terdaya untuk melakukannya, supaya tidak menghilangkan perbuatan yang sunat bagi rukuk (kadar had sempurna rukuk).Jika dia terdaya untuk melakukan rukuk dengan melebihi kadar had sempurna rukuk, maka hendaklah dia melakukan rukuk dengan tidak melebihi kadar had sempurna itu. Manakala sujudnya pula hendaklah melebihi daripada kadar had sempurna rukuk itu. Ini kerana membezakan antara kedua-dua perbuatan tersebut (membongkok kerana rukuk dan membongkok kerana sujud).
Adapun bagi orang yang
tidak berdaya untuk membongkokkan badannya bagi menggantikan perbuatan
rukuk dan sujud, maka hendaklah dia melakukannya dengan menundukkan
leher dan kepala. Jika tidak termampu juga dengan demikian itu maka
hendaklah melakukannya dengan isyarat. (Hasyiyatan Qalyubi ‘Umairah:
1/165, Majmuk: 4/204)
Tidak Berdaya Untuk Berdiri Dan Duduk
Dalam keadaan masyaqqah
dan keuzuran yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengerjakan
sembahyang dengan berdiri dan duduk, maka harus baginya mengerjakan
sembahyang dengan cara berbaring, iaitu disunatkan berbaring pada rusuk
sebelah kanan dan menghadapkan muka dan badannya ke arah kiblat seperti
keadaan mayat di liang lahad.
Adapun jika dia
berbaring pada rusuk sebelah kiri, adalah makruh perbuatannya itu selagi
dia berdaya untuk berbaring pada rusuk sebelah kanan. Walau
bagaimanapun sembahyangnya dalam keadaan sedemikian adalah sah. Jika
terdapat keuzuran (tidak berdaya) sembahyang berbaring di sebelah rusuk
kanan, maka wajiblah dia berbaring di sebelah rusuk kiri dengan
menghadapkan muka dan badannya ke arah kiblat.
Jikalau menjadi
kesukaran juga dalam melakukan kedua-dua keadaan ini, maka haruslah dia
mengerjakan sembahyang baring secara menelentang dengan menghadapkan
muka serta telapak kakinya ke arah kiblat. Bagi orang yang sembahyang
dalam keadaan ini, hendaklah diletakkan sesuatu di bawah kepalanya
seperti bantal supaya dapat meninggikan mukanya bagi menghadap kiblat
bukannya menghadap ke arah langit. (I‘anah At-Thalibin: 1/160-161,
Hasyiyatan Qalyubi ‘Umairah: 1/166)
Orang sakit yang tidak
berdaya untuk menghadap kiblat seperti orang yang lumpuh anggota badan
yang terlentang di atas katil sedangkan ianya tidak menghala ke arah
kiblat. Jika tiada ada orang yang dapat menolong untuk memalingkannya
agar dapat menghadap kiblat sama ada orang tersebut diupah atau
sebagainya, maka haruslah dia bersembahyang dalam keadaannya itu
walaupun tidak menghadap kiblat. Akan tetapi diwajibkan baginya untuk
mengulangi sembahyang tersebut. (Majmuk: 3/223)
No comments:
Post a Comment